NOVEMBER 2024

Pelantar Benua Dalam Kawasan Perairan Sarawak Milik Mutlak Negeri Ini - Premier


KUCHING: Hak pelantar benua yang berada di dalam kawasan perairan Sarawak milik mutlak negeri ini, kata Premier Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia tidak tertakluk kepada sebarang pemindahan mahupun rundingan untuk menukarkan haknya kepada Kerajaan Persekutuan. 

Ia ditegaskan Premier Sarawak, sambil menambah bahawa perkara itu tertakluk di bawah Kanun Tanah 1958 yang jelas mengatakan dasar laut dan lapisan bawah tanah Sarawak menjadi milik Kerajaan Sarawak walaupun selepas penubuhan Malaysia. 

“Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Akta Malaysia United Kingdom 1963 tidak memberikan hak milik ke atas mana-mana tanah yang terkandung dalam pelantar benua dalam sempadan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan.

“Oleh itu Kerajaan Persekutuan tiada hak milik ke atas dasar laut dan lapisan bawah tanah Sarawak atau pelantar benua Sarawak, kerana ia hanya diberikan kepada Negeri Sarawak berdasarkan undang-undang,” katanya dalam penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini.

Tegas beliau, Akta Pindaan Pelantar Benua 2009 secara jelas melindungi hak wilayah ini ke atas dasar laut dan lapisan bawah tanah dalam sempadan negeri, menyelaraskan perundangan persekutuan dengan kedaulatan Sarawak.

Justeru jelasnya, tiada sesiapa pun yang berhak mempersoalkan hak-hak yang tidak boleh dipindah milik Sarawak ke atas pelantar benua dalam sempadannya. 

“Melakukan demikian bukan sahaja bertentangan dengan MA63, malah ia juga akan melanggar Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan,” tegas Abang Johari.

Katanya, perkara ini sekali gus membolehkan Sarawak membuat semua tuntutan terhadap semua sumber minyak dan gas dalam wilayah ini berasaskan perundangan yang diamalkan sejak zaman pemerintahan kolonial British dan selepas kemerdekaan.